Friday, July 16, 2010

Majlis Pelancaran Pengukuhan Kolej Komuniti

KUALA LUMPUR 14 Julai - Kira-kira 100,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 'tercicir' daripada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi setiap tahun, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut beliau, 'keciciran' itu berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti tidak lulus dalam SPM, lulus tetapi keputusan kurang baik dan tidak minat untuk belajar, selain kurang bernasib baik.
"Setiap tahun, kira-kira 100,000 pelajar SPM terkeluar daripada sistem pendidikan negara. Terkeluar dalam konteks ini adalah berhenti belajar setakat umur itu (17 tahun) dan memasuki pasaran kerja tanpa apa-apa kemahiran," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Program Pengukuhan Kolej Komuniti di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menyedari perkara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan melalui Kolej Komuniti memberi peluang kedua kepada golongan tersebut apabila memperkenalkan program latihan jangka pendek.
Beliau berkata, latihan bersifat modular yang terkandung dalam program pengukuhan institusi itu dengan kos pengajian hanya RM10 sebulan.
"Melalui inisiatif ini, sijil kemahiran yang diiktiraf pada tahap Sijil Kemahiran Malaysia dua dan tiga boleh diperolehi dalam masa antara tiga hingga enam bulan sahaja, berbanding tempoh pengajian dua tahun sebelum ini.
"Pengambilan akan dibuat setiap tiga bulan dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia tidak kira umur dan pengambilan pertama seramai 25,000 orang pelajar telah bermula semalam," jelasnya.
Ditanya berapa ramai jumlah tenaga kerja yang tidak berkemahiran mampu dikurang melalui program Kolej Komuniti itu, beliau tidak dapat menjelaskan tetapi memberitahu institusi itu mampu menyediakan 80,000 peluang pengajian setiap tahun.
Terdahulu, ketika berucap Mohamed Khaled berkata, penawaran program jangka pendek yang berasaskan kerja sebenar itu akan menjimatkan masa pelajar dan hanya memberi pengkhususan kepada bidang tertentu.
Katanya, di peringkat permulaan, terdapat 47 jenis kursus modular ditawarkan yang merangkumi sembilan sektor antaranya Servis Penyejukan dan Penyaman Udara, Akuakultur, Servis Kenderaan Ringan, Pemasangan Elektrik, Penyelenggaraan Bangunan dan Menyelenggara dan Membaiki Bot.---Sumber Utusan Malaysia 15/07/2010


KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Rabu melancarkan program pengukuhan institusi Kolej Komuniti yang antara lain menggariskan tempoh pembelajaran bagi sembilan sektor di Kolej Komuniti terpilih disingkatkan daripada dua tahun kepada tiga ke enam bulan mulai tahun ini.

Program jangka pendek Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan adalah antara inisiatif yang dirangka untuk pengukuhan institusi Kolej Komuniti selain melaksanakan program memperkasakan program pembelajaran sepanjang hayat dan mempergiatkan program perantisan.

Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang merangka Program Pemindahan Ilmu antara Kolej Komuniti dan universiti bagi membolehkan hasil penyelidikan di universiti dapat dinikmati masyarakat setempat melalui kolej komuniti.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran semasa berucap melancarkan program itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini yakin inisiatif itu akan menjadikan kolej komuniti sebagai pemangkin utama kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi di negara ini.

Beliau berkata warga kolej komuniti perlu sentiasa bertindak secara proaktif dalam melakukan inovasi pembangunan kurikulum, latihan sumber manusia, pemantapan struktur dan tadbir urus institusi serta pengukuhan kerjasama antara institusi dan industri.

"Saya percaya usaha berterusan kolej komuniti dalam memperkukuh halatuju, memperkasa pengajian sepanjang hayat, menstruktur semula program latihan berasaskan kemahiran dan mewujudkan kerjasama dengan pihak industri dan universiti akan memacu institusi ini ke arah merealisasikan program pengukuhannya," katanya.

Muhyiddin berkata program itu juga sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memperluaskan akses kepada pendidikan dan latihan berasaskan kemahiran bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan tenaga mahir negara.

Mengenai Program Pemindahan Ilmu antara universiti dan kolej komuniti pula, Timbalan Perdana Menteri berkata ia akan meletakkan kolej komuniti pada kedudukan yang amat strategik sebagai sebuah institusi pendidikan dan latihan yang berperanan menyalurkan penemuan-penemuan baru hasil penyelidikan universiti tempatan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

"Ini adalah satu bentuk inovasi dalam penyediaan program latihan kemahiran berasaskan penyelidikan yang wajar dikembangkan lagi.

"Saya percaya dengan adanya program seumpama ini, tenaga kerja yang dilahirkan oleh kolej komuniti akan dapat menguasai pelbagai bentuk kemahiran baru yang akan meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing mereka," katanya. Menghuraikan program Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata seramai 25,000 pelajar terlibat dalam pengambilan pertama program itu yang bermula semalam.

"Pengambilan setiap tiga bulan dan yuran pengajian hanya RM10 sebulan dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia tidak kira umur, tahun ini kita sasarkan seramai 50,000 orang pelajar," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.

Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis itu berkata golongan yang disasarkan menyertai program Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan ialah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memasuki pasaran kerja tanpa latihan kemahiran.

"Melalui inisiatif ini, sesuatu sijil kemahiran yang diiktiraf pada tahap Sijil Kemahiran Malaysia 2 dan 3 boleh diperolehi dalam masa antara tiga hingga enam bulan sahaja berbanding tempoh pengajian dua tahun sebelum ini," katanya.

Beliau berkata penawaran program jangka pendek yang berasaskan kerja sebenar itu akan menjimatkan masa pelajar yang berminat dan hanya mahu mengkhusus dalam bidang tertentu sahaja selain dapat menggalakkan lebih ramai mengikuti program itu.

Pada peringkat permulaan, terdapat 47 jenis kursus modular ditawarkan Kolej Komuniti yang merangkumi sembilan sektor iaitu servis penyejukan dan penyaman udara, akuakultur, servis kenderaan ringan, pemasangan elektrik, penyelenggaraan bangunan, menyelenggara dan membaiki bot, pengendalian pelancongan, operasi hotel dan kulinari, katanya.

Selain pelaksanaan kurikulum modular itu, beliau berkata inisiatif lain yang diperkenalkan termasuk menjadikan Kolej Komuniti sebagai Pusat Pentauliahan dan Persijilan Profesional di mana badan profesional akan menjadikan Kolej Komuniti sebagai tempat bagi mereka melahirkan lepasan pelajar yang kelulusannya diiktiraf mereka serta diterima pakai secara meluas oleh pihak industri.

Kolej Komuniti juga akan memainkan peranan melatih masyarakat untuk berjaya dalam bidang perniagaan di mana institusi itu akan memberi latihan bukan saja daripada segi teori dan praktikal malahan panduan daripada segi pinjaman modal serta jenis perniagaan, katanya.

Mengenai program pemindahan ilmu, Mohamed Khaled berkata kolej komuniti perlu memastikan hasil kajian universiti terutama berkaitan perkembangan kemahiran modal insan, perkembangan keupayaan modal dan sumber ekonomi serta hasil yang boleh dinikmati terus oleh masyarakat, melalui aspek ilmu dan praktikal.

Beliau memberikan contoh kerjasama antara kolej komuniti dengan Universiti Malaysia Sabah mengenai teknik pembenihan ikan kepada masyarakat.

"Ini bermakna hasil penyelidikan dan penemuan oleh universiti boleh dikembalikan kepada masyarakat melalui inisiatif kolej komuniti," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails