SAMA ada sedar atau tidak, kita sudah berada pada hari terakhir Ramadan al-Mubarak. Kebiasaannya bermula pada malam 15 Ramadan, jemaah masjid atau surau akan mengakhiri solat tarawih dengan solat witir dan membaca doa qunut.
Setiap rakaat solat tarawih, akan dibacakan surah al-Qadr pada rakaat pertama. Tradisi itu sudah sekian lama diguna pakai sebilangan besar masyarakat Islam di Malaysia sama ada di bandar mahupun kampung.
Pada Ramadan ada satu malam disebut Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa berdoa dan beribadat pada malam itu doa mereka akan dimakbulkan. Justeru, kita digalakkan membaca surah al-Qadr pada malam penghujung Ramadan ini.
Lailatul Qadar adalah satu malam penuh keistimewaan dikurniakan Allah kepada umat Muhammad SAW. Firman Allah bermaksud: Dan amal ibadat yang dikerjakan pada malam tersebut dinilai lebih baik daripada seribu bulan.
Dalam surah al Qadar Allah SWT menyatakan:
“Sesungguhnya Kami turunkan (al-Quran) itu pada malam al Qadar. Dan apakah kamu mengetahui mengenai malam al-Qadr. Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Diturunkan malaikat dan roh padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar.”
Jika dihitung seribu bulan bersamaan dengan 83 tahun tiga bulan. Betapa besarnya keistimewaan beribadat pada malam itu, namun tidak ramai umat Islam berkesempatan mendapatnya melainkan mereka yang kuat iman, sanggup meluangkan masa dengan solat sunat, membaca al-Quran, berdoa, bertaubat dan bermunajat di hadapan Allah.
Tanpa membataskan tarikh tertentu pada Ramadan untuk merebut Lailatul Qadar, umat Islam yang konsisten dengan amal ibadat 30 hari tentu akan menemui Lailatul Qadar walaupun tidak bertemu dengan tanda kemunculannya.
Masyarakat banyak berpegang kepada alamat seperti pada malam itu air menjadi beku, pokok sujud ke bumi, tidak ada kedengaran salakan anjing dan sebagainya. Bagaimanapun Rasulullah SAW ada menyuruh kita mencari Lailatul Qadar pada malam ganjil pada sepuluh hari terakhir Ramadan dengan meningkatkan ibadat.
Tujuan disembunyikan malam Lailatul Qadar itu mempunyai hikmahnya tersendiri supaya kita berusaha mencarinya, meningkatkan ibadat pada semua malam dan untuk menguji keimanan Islam terhadap janji Allah SWT.
Kita tidak sepatutnya berpegang dengan anggapan karut-marut seperti mengatakan Lailatul Qadar itu sebagai seorang tua berjubah dan berserban serba putih, sesiapa bertemu dengannya hendaklah memeluknya dan meminta apa saja kita inginkan. Dia akan memberi apa saja kita minta.
Kepercayaan dicipta semata-mata untuk orang yang malas dan mengambil jalan mudah tanpa berusaha bersungguh-sungguh.
Hakikatnya, Lailatul Qadar adalah satu malam Allah untuk diberikan kelebihan berlipat ganda kepada orang yang yakin dengan janji Allah. Mereka berebut-rebut beribadat memenuhi ruang masjid dan surau membaca al-Quran, berzikir dan berqiamulail.
Mereka tamakkan Ramadan yang berada pada penghujungnya. Peluang ini tidak diperoleh pada bulan lain.
Nabi SAW bersabda bermaksud:
“Apabila malam akhir Ramadan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa umat Muhamad. Sahabat bertanya: Apakah musibah itu? Rasulullah menjawab: (Musibah) kerana perginya Ramadan kerana dalam bulan ini doa dimakbulkan semua sedekah di terima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta seksaan ditolak.” (Hadis diriwayatkan oleh Jabir)
Pada malam Lailatul Qadar seluruh malaikat dan roh nabi, rasul serta roh orang yang salih turun bersama berdoa dan mendoakan orang yang beribadat pada malam itu hingga terbit fajar.
Bagi mereka yang berpeluang bertemu malam itu juga akan berasa puas dan gembira hasil kesungguhan mereka beribadat sejak awal Ramadan hingga mendapat pengiktirafan Allah dengan disaksikan malaikat dan nabi.